Thursday, November 8, 2012

Menyambut perayaan kaum lain..

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Baru-baru ni penulis menghadapi situasi di mana di tempat kerja penulis ada membuat sambutan perayaan Halloween. Menjadi kebiasaan di mana kami menyambut setiap jenis perayaan memandangkan kami bekerja bersama penganut agama yang pelbagai.. Timbul isu bila ada satu pertandingan Halloween di adakan dan kami dalam satu team di suruh memakai pakaian bertemakan Halloween seperti berpakaian kostum seperti hantu, ahli sihir dan pelbagai lagi.. Ada yang setuju dan ada yang tidak setuju.. Kebanyakan yang muslim tidak setuju kerana menyambut perayaan bukan Islam ditakuti memesongkan akidah.. Tambahan lagi hantu dan ahli sihir itu adalah syirik. Tetapi ada yang bukan Muslim tidak bersetuju dan bertegas bahawa pertandingan itu hanya lah sekadar untuk 'suka-suka'..

Sebagai panduan mari lah sama-sama kita membaca rujukan ini.

HUKUM MENGHADIRI PERAYAAN ORG BUKAN ISLAM.
1) Mengucap tahniah sempena perayaan tersebut.
Syeikh Mustafa Zarqa di dalam kitabnya ‘Al-Fatawa’ menyatakan bahawa tidak mengapa seorang muslim mengucapkan tahniah kepada bukan muslim sempena perayaan ‘Eidul Masih’ (Krismas) jika ia setakat ‘mujamalah’ iaitu menjaga hubungan dengan mereka bukannya mengakui agama dan aqidah mereka atau bersetuju dengan mereka. (Fatawa Mustafa Zarqa MS 355-356)
Dr Yusof Qaradhawi juga mengeluarkan pandangan yang sama di dalam kitabnya ‘Fatawa Muaasyirah’ (Lihat Fatawa Muaasyirah jil 3 ms 668-673)
2) Melibatkan diri dengan perayaan mereka.
Syeikh Islam Ibnu Taimiyah membincangkan masalah ini dengan panjang lebar di dalam kitabnya ‘Iqtidhous syirotul mustaqim’. Kesimpulan apa yg telah dibinncangkan beliau ialah haram sama sekali kita melibatkan diri dengan perayaan-perayaan atau majlis-majlis keagamaaan mereka. (Ms 29-34)
Imam Al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sohih bahawa Abdullah bin Umar berkata : ‘Sesiapa membina bangunan di negeri orang ajam (bukan Islam) dan mengadakan majlis perayaan mereka dan mengikut cara mereka sehingga mati, nescaya ia dibangkitkan bersama mereka pada hari kiamat”
Dr Yusof Qaradhawi juga menentang dengan keras penglibatan orang Islam dengan mana-mana perayaan orang bukan Islam seperti perayaan krismas dll.
Peringatan:
1. Perlu kita membezakan di antara perayaan keagamaan dan kebudayaan. Yang haram ialah melibatkan perayaan keagaaman mereka sahaja.
2. Walaupun kita diperintahkan untuk berdakwah kepada mereka tetapi ada batasan-batasan yang perlu dijaga .Matlamat tidak menghalalkan cara. (Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku)
3. Konsep dakwah tidak sekali-kali bercanggah dengan mana-mana konsep dalam aqidah atau syariah, tetapi ia perlu beriringan antara satu sama lain. (Akhir-akhir ini kedengaran ada suara yang seolah-olah menganggap dakwah dan syariah ada perbezaan dan percanggahan.)
..................................................................................
Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam,membuat event@acara bukan islam spt hari kekasih,depavali,krismas&lain2 lg
Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam.

Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Keputusan :
Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;
1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.
Contohnya;
i. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.
ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.
v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.
2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.
Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.
Contohnya:
i. Memakai pakaian2 agama lain contoh berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;
ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;
iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;
iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.
3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.
Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Contohnya:
i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;
ii. Berpakaian yang menjolok mata;
iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;
iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.
4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.
Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.
Contohnya:
i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;
ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;
iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;
iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.
5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.


Semoga bermanfaat..

No comments: