Friday, October 7, 2011

Bila Ajal sudah tiba..




Apabila Ajal Sudah Menjemput


Dalam hidup, semuanya tidak pasti kecuali mati. Mati memang pasti. Sama ada kita bersedia atau tidak, bersetuju atau tidak, ingat atau lupa, suka atau berduka, mati tetap menjemput.


Mati tidak mengira status. Jika orang biasa boleh mati, VIP pun tidak terkecuali. Termasuk juga para doktor dan bomoh yang kerjanya pulihkan orang sakit juga boleh mati pada bila-bila masa. Apatahlagi orang sakit nazak yang berada diambang maut. Orang sihat juga boleh mati walaupun fizikalnya segar bugar tanpa penyakit


Mati menjemput di mana-mana. Tidak diawalkan sesaat tidak dilewatkan sesaat. Takkala sudah tersurat nasib hayat kita cuma sehingga masa tertentu, nyawa kita akan bercerai dari badan. Kita boleh saja eksiden di jalanan dan meninggal dilanyak puluhan kenderaan walaupun baru sekejap tadi masih bergelak tawa dengan rakan-rakan. Dalam ketiduran juga nafas kita boleh terhenti tiba-tiba. Sama ada kita berada di mana-mana - di darat, di laut, di udara ataupun kita berada di alam bunian sekalipun, kita tidak boleh menolak dan menahan hayat kita daripada berhenti berputar di alam nyata.


Tepatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal) sekalipun berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh...(an-Nisaa': 78)




Ada satu kisah menarik tentang kematian. Kisahnya berlaku di zaman Nabi Sulaiman a.s. Ketika Nabi Sulaiman a.s sedang berkumpul dengan beberapa orang sahabatnya, datanglah Malaikat Maut dengan rupa manusia biasa. Malaikat Maut itu merenung salah seorang sahabat Nabi Sulaiman a.s dengan pandangan yang aneh sebelum beredar.


Sahabat Nabi Sulaiman a.s yang perasan diperhatikan orang tersebut menjadi takut apabila diberitahu orang itu adalah Malaikat Maut. Lalu dia merasa tidak sedap hati dan meminta Nabi Sulaiman meniupkannya ke puncak negeri India. Nabi Sulaiman kabulkan permintaan sahabatnya dan memerintahkan angin supaya menerbangkan sahabatnya ke India.


Tidak lama kemudian, Malaikat Maut mengunjungi semula Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman a.s menanyakan apa hajat Malaikat Maut itu sehingga memandang sahabatnya sebegitu rupa. Lalu Malaikat Maut menjelaskan dia pada mulanya hairan kerana dia ditugaskan mengambil nyawa sahabat Nabi Sulaiman a.s itu di sebuah negeri di India, tetapi pada masa yang sama sahabat itu berada bersama-sama Nabi Sulaiman a.s. Bagaimana ia ingin ke sana, tempat yang begitu jauh pada masa yang sama.


Apabila Nabi Sulaiman a.s menerangkan permintaan sahabatnya yang meminta diterbangkan ke India kerana takut dengan Malaikat Maut tadi, Barulah Malaikat Maut faham keadaan sebenar. Kerana itu, apabila ia ke India, sahabat Nabi Sulaiman a.s itu telah berada di sana, di tempat yang telah ditentukan dan pada masa yang ditetapkan hinggalah nyawanya dicabut oleh Malaikat Maut tadi.


Allah berfirman yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan, maka apabila telah datang tempohnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mempercepatkannya. (al-A'raaf: 34).


Sama-samalah kita sediakan bekal yang cukup sementara menanti maut yang bakal bertandang pada bila-bila masa.




No comments: